Salam

Friday, November 27, 2009

NAK TAHU TAK?


FAKTA 1: Puteri Gunung Ledang
Setelah dikajiselidik melalui sebuah perkuburan yang terdapat dipinggir Gunung Ledang, terdapat kesan-kesan peninggalan dan bukti yang menunjukkan mayat di dalam kubur tersebut ialah Puteri Gunung Ledang. Di sebelah bawah badan mayat tersebut terdapat secalik kertas dan setelah diselidik ia sebenarnya Kad Pengenalan Puteri Gunung Ledang. Nama sebenar Puteri Gunung Ledang yang tertera didalam IC itu ialah Tiara Jeaquelina bin Abdullah.

FAKTA 2: Batu Bersurat Terengganu
Mengikut sejarah, ada seorang hamba sultan Terengganu telah dipancung kerana telah melakukan kesalahan. Namun tidak diberitahu apa kesalahannya. Di atas kajiselidik kami, hamba yang dihukum bunuh itu sebenarnya ialah seorang yang bekerja sebagai posmen tetapi tidak mahu menghantar surat-surat baginda kemudian posmen itu melonggokkan surat dirumahnya. Polis telah menemui 1,290 pucuk batu bersurat di rumah posmen tersebut. Alasan posmen itu ialah macammana dia nak angkat batu-batu bersurat tu naik basikal untuk dihantar ke penerimanya.

FAKTA 3: Keris Taming Sari
Ramai yang mengatakan bahawa keris taming sari telah hilang dan tidak dijumpai sehingga kini. Namun kami telah menemuinya di salah satu kawasan di pendalaman Melaka. Setelah berbulan-bulan mengadakan ekspedisi mencari keris taming sari barulah kami menemui motor Kris yang ditunggang oleh pakcik Taming yang sedang memakai Sari.

FAKTA 4: Bangunan WTC Runtuh di New York
Sebenarnya bangunan ini dapat diselamatkan dari runtuh namun fakta kami sangat jelas kenapa sebenarnya ia runtuh. Persoalan kenapa bangunan ini runtuh terjawab kerana Superman pada masa tu spender dia basah lalu malu untuk dia keluar tanpa spender dia, Batman pula takleh keluar siang sebab kelawar tidur waktu siang. Spiderman pulak hari tu mengalami kincit perut dan terberak-berak kerana tertelan sarang labah-labah. Manakala Kapten Amerika pada hari tu sedang menghadiri majlis penerimaan pangkat sebagai Kapten. Hulk dan wolverine pula tengah menghadiri interview sebagai pelayan hotel dan last sekali catwomen tengah jahit kostumnya yang koyak. Ini semuanya fakta kenapa bangunan tu runtuh kerana superhero amerika mengalami masalah.

FAKTA 5: Taliban
TalibanTaliban Sebelum Amerika ingin menyerang Afghanistan, sebenarnya mereka ingin menyerang Malaysia terlebih dahulu kerana pada sangkaan mereka Malaysia ialah pusat pentadbiran Taliban yang diketuai Osama Laden. Namun akhirnya mereka malu pada tahap baboon kerana taliban yang mereka sangkakan itu sebenarnya ialah sebuah syarikat telekomunikasi yang bernama Talikom Malaysia Berhad.

HAWA NAFSU


Pernahkah kita memikirkan bahawa nafsu yang ada dalam diri kita boleh menerjahkan diri kita ke arah kebinasaan dan juga kehinaan. Dan pernahkah kita terfikir bahawa nafsu juga boleh mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan dan juga kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Apakah yang dimaksudkan dengan hawa nafsu ini? Jika dicari asal makna ‘hawa’ dalam bahawa Arab, maka ia merujuk kepada pengertian ’suka’ ataupun ‘cinta’. Menurut ahli bahasa, ‘hawa’ ialah kesukaan manusia kepada sesuatu yang dapat menggembirakan serta memenangkan hatinya. Sedangkan ‘nafsu’ ianya merupakan suatu dorongan dalaman yang menjadi fitrah jiwa manusia untuk mencapai pelbagai jenis keinginan dan keseronokan di dalam kehidupannya.

Firman Allah s.w.t, bermaksud :

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini; iaitu kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Ali- Imran: 14 )

Menerusi ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa hikmah Allah menciptakan nafsu keinginan dalam diri manusia ialah dengan tujuan untuk mendorong manusia mendapatkan apa juga perkara yang menjadi kemaslahatan dirinya atau kesinambungan zuriatnya. Keadaan nafsu yang menginginkan pelbagai perkara ini bukanlah satu kesalahan. Yang dicela dan salah ialah jika seseorang itu berusaha untuk mendapatkan keinginannya menerusi jalan yang tidak disyariatkan, atau menyebabkannya berpaling daripada mentaati perintah Allah s.w.t.

Imam al-Ghazali rahimahullah pernah berkata:” Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang terpuji adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali.”

Rasulullah s.a.w menerusi hadisnya telah mengkategorikan kehendak hawa nafsu yang buruk ini kepada salah satu daripada tiga perkara yang membinasakan seseorang :

“Ada Tiga perkara yang membinasakan, iaitu bakhil yang dituruti, hawa nafsu yang dituruti, dan kekaguman seseorang kepada dirinya. Dan ada tiga perkara pula yang membebaskan: takut kepada Allah dalam keadaan bersunyi-sunyi atau terang-terangan, berniat untuk menjadi fakir dan kaya, dan kalimat yang benar bagi orang yang marah atau suka.” (Riwayat Baihaqi)

Menerusi hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga sifat mazmumah (tercela) yang mesti kita singkirkan dalam diri kita dan terdapat tiga pula sifat mahmudah (terpuji) yang mesti menjadi pakaian dan juga amalan dalam kehidupan kita. Ketiga-tiga sifat mazmumah yang tercela itu ialah sifat bakhil yang melampaui batas, terlalu menuruti tuntutan hawa nafsu sehingga menjadikan nafsu sebagai Tuhan dalam segala tindak tanduk kita, dan terlalu kagum (‘ujub) dengan kehebatan dan juga pangkat darejat yang ada pada diri kita sehingga sampai ke tahap bongkak dan takabbur seperti Iblis.

Di samping itu, Rasulullah s.a.w di dalam hadis di atas telah memberi panduan kepada kita agar menghiasi diri kita dengan tiga sifat terpuji seperti berikut: iaitu takut untuk melakukan kemungkaran dan taat melaksanakan perintah Allah sama ada di hadapan manusia ataupun ketika bersendirian, bersifat ‘qana’ah ataupun berpada dengan apa sahaja pemberian Allah dan berazam untuk menjadi senang dan kaya demi untuk berbakti kepada agama Allah, dan seterusnya menyampaikan nasihat serta pandangan yang baik dan benar samada pihak yang menerimanya suka ataupun tidak suka dengan nasihat yang diberi. Inilah tiga prinsip yang boleh menyelamatkan diri kita daripada keburukan hawa nafsu di dunia ini.

Khalifah yang terkenal adil, Umar bin Abdul Aziz berkata: “Janganlah menjadi pengikut kebenaran hanya apabila sesuai dengan selera hawa nafsumu dan menentang kebenaran jika ia tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsumu, kerana engkau tidak akan mendapat pahala dari melakukan kebenaran dengan cara seperti itu; sedangkan engkau tetap diseksa (berdosa) dengan menentangnya kerana kedua-duanya dianggap sebagai amal yang mengikut kehendak hawa nafsu.”

Justeru, untuk mengelakkan hawa nafsu kita daripada bersekongkol dengan Iblis dan Syaitan ke arah menjerumuskan diri kita ke lembah kebinasaan dan keburukan, maka kita perlu menerima tunjuk ajar dan juga nasihat oleh diri kita sendiri menerusi ‘HATI” dan “TELINGA” yang Allah anugerahkan kepada setiap insan di dunia ini. Hati inilah yang sepatutnya menjadi raja dan juga Penasihat kepada diri kita dan TELINGA untuk menyaring segala maklumat yang kita terima bagi menangkis segala bisikan jahat hawa nafsu dan memberi pedoman kepada kita untuk menuruti akal dan keimanan kita berpandukan kepada wahyu Ilahi. Firman Allah s.w.t, bermaksud :

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai HATI yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai TELINGA yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (al-Haj: 46)

Berpandukan kepada ayat di atas maka marilah sama-sama kita beristiqamah dan berazam untuk menjadi hamba-hamba Allah yang memiliki hati yang tidak buta terhadap taufiq dan hidayah Allah s.w.t, agar hawa nafsu kita tidak menjerumuskan diri dan keluarga kita ke arah kebinasaan.